Kad Kredit : Biar Papa Asal Bergaya
Sumber : HarakahDaily.net
Mutakhir ini, isu pengguna kad kredit yang berhadapan dengan tindakan senarai hitam dan undang-undang menjadi antara laporan panas media-media arus perdana.
Abang Budin Somban Duo terpanggil untuk turut serta membincangkan isu ini yang mana ramai di kalangan rakan-rakan saya terutamanya yang sama sekampus di Universiti Malaya dulu yang menggunakan Kad Kredit ini bagi tujuan tertentu.
Apa nak buat bila dah bekerja dengan pangkat besar, mereka merasakan terpanggil untuk menggunakan kad kredit sebagais atu lambang ‘prestij’ kononnya, malangnya ada di antara mereka yang menyalahgunakan kad ini untuk bergaya meskipun tidak berkemampuan.
Tidak dinafikan ada juga yang menggunakan kad kredit hanya untuk mengisi minyak dan ketika terdesak.Bagaimanapun sebilangan besar yang menggunakan kad kredit lebih cenderung kepada gaya hidup mewah, menunjuk-nunjuk dan mahu memakai barangan yang berjenama dengan menggunakan kaedah pembelian kad kredit yang cukup mudah.
Ada juga rakan yang menggunakan kad kredit bagi membeli telefon bimbit yang berharga sehingga RM1200 dan ke atas semata-mata mahu menunjuk-nunjuk bahawa mereka memiliki gaya hidup yang cukup mewah, canggih sedangkan poket kering.
Memandangkan kekangan ekonomi yang cukup melampau hari ini, kemungkinan besar golongan ini (pengguna kad kredit) terpaksa menggunakan kad kredit ini bagi menampung kelesuan poket yang dihadapi.
Malangnya ada yang sukar untuk membayar semula kadar kredit yang telah digunakan dan tertangguh hingga beberapa bulan lamanya.Akibatnya bunga yang dikenakan ke atas penggunaan meningkat hinggalah notis dikeluarkan oleh pihak bank.
Dalam keadaan ini pastinya pengguna hilang arah, bagi mereka yang memiliki kad kredit tambahan dari bank yang lain, jalan yang mudah ialah mengeluarkan sejumlah wang untuk membayar sahaja tunggakan tersebut.
Malangnya, tanpa mereka sedar ianya membawa satu lagi kekusutan kepada pengurusan kewangan mereka memandangkan mereka telah membabitkan satu lagi tambahan risiko ‘liabiliti’ (tanggungan) kepada kad yang lain.
Jika mereka mampu untuk memulangkan semula kadar pengeluaran wang yang telah dibuat terhadap kad berikutnya dalam jangka masa singkat ianya tidak akan mendatangkan masalah, sebaliknya jika gagal ‘bunga’ yang dikenakan atas kadar pinjaman akan meningkat dan menyebabkan satu lagi episod gusar dalam pengurusan wang mereka.
Bagi saya, apa yang penting dalam isu ini kepada mereka yang tidak bergaji tinggi dan mempunyai hutang lain seperti kereta, motor, rumah dan tanggungan lain mereka ini perlu menjana pendapatan luar dari sudut lain dan bukannya memilik kad kredit sebagai jalan penyudah.
Ringkasnya, jangan nanti orang kata, ‘biar papa asal bergaya’.